Rabu, 12 September 2018

Cuci Mata Di Laman Bonda Tyra Iskina

Alasan utama adalah sibuk. Bunga di halaman terbiar. Tanpa siraman, tanpa baja dan tanpa belaian akhirnya ia hidup dalam kesempitan. Pembesaran terbantut. Daun kuning dan kusam. Berbintik dan di makan ulat. Menjadi rumah labah-labah. AKhirnya awal Ogos 2018 tergerak hati untuk menjenguk.
Terasa pilu pula melihat pasu orkid banyak yang berpaku-pakis, lumut menyelimuti akar orkid. Daun kurus dan banyak yang mati. Malahan orkid yang dilekatkan di kayu hanyut banyak yang mati.
Pasu bunga di bawah pula, keladi tinggal batang. Pasu yang terlindung dari cahaya matahari dan air hujan kering kontang.
Siput babi berkeliaran bersembunyi di celah dedaun yang terlindung cahaya. Sangat menyedihkan melihat koleksi bunga terbiar dan kecundang.
Semasa cuti hari minggu tergerak hati untuk bersantai membersihkan bekas pasu bunga. Mencabut rumput dan menyapu dedaun kering. Pokok yang mati digunting, di baja mana yang masih setia. Dibelai dan berbicara memohon maaf atas kecuaian.
Bunga Bakawali Putih
 Spesis bakawali yang paling lama dalam koleksiku. Semasa aku tinggal di Mentakab dan Temerloh pasu bunga ini aku usung ke mana sahaja bila aku pindah. Sekarang ni pokok ini sudah membiak di banyak tempat rumah saudara mara dan teman-teman yang minat bunga ni. Apa yang isteimewanya dengan bunga ini selain baunya yang wangi, bila ia berbunga menandakan keberuntungan pemiliknya. Bunga kembang tepat 12 malam dan akan kucup keesokan pagi. Masa bunga ini kembang ada yang sengaja bercerita konon ada pari-pari muncul. Aku pernah tidak tidur semata-mata nak lihat bunga ini mengembang dan mengucup sambil menghidu wanginya bunga bakawali.
Koleksi Orkid Hutan
 Kebanyakan orkid hutan yang ada dalam koleksi ini datang dari serata tempat. Ada yang aku beli dari pasar minggu dekat rumah. Ada yang aku jenguk dari serata nursery yang aku sempat singgah dan ada yang aku beli semasa menjelajah Thailand sampai ke penghujung Burma.  Harga pelbagai mengikut tempat dan boleh dikategorikan dalam lingkungan harga menggetarkan poket peminat orkid. Kalau yang percuma adalah usaha aku dan keluarga masuk hutan memburu orkid. Masa ni memang banyak yang aku bawa balik. Satu hilux penuh dengan semak orkid.
Koleksi Orkid Hutan

Bunga Raya Hawaii Kuning

Orkid 1

Cattaleya

Orkid
Aku tak ingat dah nama asalnya. Orkid dalam famili Oncidium Spp. 
Sangat rajin berbunga dan tidak pernah putus berbunga saban bulan. Boleh dikatakan sentiasa ada bunganya.

Orkid Hutan Jerantut
 Belum pernah berbunga. Tidak pasti bagaimana bunganya. Di ambil semasa mandi di Lata Embun Hutan Sungai Rengat, Ulu Cheka, Jerantut. Tumbuh di atas tanah lembab yang berlumut di pinggir air terjun. Tetapi dari 2015 dalam jagaan belum pernah berbunga. Tidak pasti bagaimana bentuk bunganya. Kalau tengok daun dan ubi seperti Orkid Coelogyne rochussenii salah satu orkid liar yang berbau seperti madu.

Dibeli dari Dongsingkhorn Sempadan Myanmar Thailand. 2016

Dendrobium

Dendrobium Peach... dari Pesta Pertanian Songkhla 2017

Orkid dibeli tahun 2016. Rajin berbunga sekurangnya 3 kali setahun
Vanda yang paling rajin berbunga . Lebih dari 10 kali berbunga semenjak dalam simpanan dari tahun 2015. Dibeli dari Pasar Borong Kuala Krai

Ahad, 6 November 2016

Jalan-jalan Cari Orkid 6


Selepas banjir 2014 aku dan bonda terpaksa bermula sekali lagi untuk meneruskan cita-cita dan cinta kami terhadap bunga dan tumbuhan. Merata tempat dan nursery kami kunjungi untuk mencari ilham dan idea yang boleh kami terapkan untuk membina semula kebun sekangkang kera milik kami.
Nursery Bonda Iskina ... orkid hutan

Orkid Hutan dari sana..
Pada Julai 2016 yang lepas aku mengikuti rombongan yang lebih dikenali sebagai Jalan-jalan cari orkid  yang merupakan peminat fanatik orkid kecuali aku yang masih suam-suam kuku  minat orkid. Trip kami ke Thailand dan menjelajah Negara Gajah Putih itu selama seminggu semata-mata untuk orkid dan membuahkan hasilnya apabila melihat nursery dan kemajuan tanaman di negara tersebut. Ianya seakan memberi nafas baru dan membuka mata serta mindaku terhadap dunia orkid dan tanaman hiasan khususnya bunga-bungaan.
Hasil dari penjelajahan ke Negara Thailand selama seminggu.

Dong Singkhorn, Thailand kawasan pelancongan di kaki bukit sempadan dengan Burma, pusat jualan orkid spesis harga semurah 10 Baht Thailand dan banyak dijual secara longgok.
Jualan Orkid Longgok di Dongsongkhorn

Pemandu Pelancong Warga Thai yang sporting

Orkid yang  dijual longgok

Cuba teka berapa bhat?

Yang ini dijual kilo....???

Selasa, 7 Jun 2016

MAAF...! MAAF...! MAAF...!

Permohonana maaf ini saya dedikasikan kepada sesiapa sahaja yang telah menghubungi saya melalui email untuk membeli keratan ati-ati.
Sehingga ke saat ini Nursery kami tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.
Kebanyakan tanaman hanya boleh dibeli melalui 'Walk In' sahaja.
Pembeliaan melalui 'Online' atau post tidak dapat dilakukan kerana masalah yang tidak dapat di atasi.

Peristiwa banjir besar dari 22hb Disember 2014 sehingga 28hb Disember 2014 telah memusnahkan tanaman di nursery kami. Kebanyakan pokok yang ada pun masih dalam pemulihan. Kami tidak dapat menumpukan kepada nursery sepenuhnya kerana rumah kediaman kami juga runtuh dan musnah dalam bah besar itu. Pondok nursery juga dijadikan tempat tinggal sementara sehingga mendapat tempat perlindungan yang lebih baik.
Kebun sayur bonda
Alhamdulillah kini rumah mangsa banjir juga telah diterima dan diduduki.  Kami juga dalam proses menyusun dan memulihkan nursery kami. Dedikasi sebenarnya Nursery ini adalah untuk Bonda saya yang sangat minat dengan tanaman.
Sebelum ini Nursery Bonda memiliki 3 bangsal teduhan untuk tanaman. Kini hanya tinggal satu sahaja yang boleh digunakan. Kami juga dalam usaha membersihkan kawasan yang dijadikan nursery sebelum ini.
Untuk pengetahuan juga, nursery ini berdiri atas semangat jitu bonda.
Sehingga kesaat ini saya tidak pasti berapa jenis sahaja pokok tanaman yang ada kerana masih dalam penyusuanan.
Sekiranya ada yang berminat masih ada lagi beberapa jenis tanaman yang boleh dicari di sini seperti :
Pokok Durian Belanda
Pokok Limau Nipis,
Pokok Limau Kasturi
Pokok Petai
Pokok Herba (beberapa jenis)
Pokok hiasan dan bunga-bunga.
dan lain-lain.















Khamis, 22 Januari 2015

Nursery Bonda Iskina Telah Ditutup

Assalamualaikum,
DUkacita dimaklumkan bahawa Nursery kami telah ditutup dan tidak akan beroperasi lagi kerana mengalami masalah selepas ditenggelami banjir pada 22hb Disember - 31 Disember 2014 yang lepas. Kesemua anak benih dan pokok telah musnah.
Harap Maklum

Jumaat, 31 Oktober 2014

Makluman Penting

Saya ingin memohon kemaafan kepada semua yang telah menghantar email kepada saya untuk pembelian benih dan lain2. Buat masa ini nursery kami masih belum beroperasi dengan sepenuhnya dan tidak mengambil pesanan online sehingga penghujung tahun ini.
Kami memohon jutaan kemaafan di atas keadaan ini.
Sekiranya jualan online dimulakan saya akan beritahu segera di sini.
Harap Maklum.
Dan kemaafan dipinta sekali lagi.

Jumaat, 21 Mac 2014

Nursery Bonda Iskina Dalam Proses Pemulihan

Sudah lama tidak berbicara mengenai Nursery Bonda Iskina.
Semenjak kejadian banjir Disember 2013 banyak tanaman yang musnah dan yang tinggal pula hanya sedikit sahaja yang dapat diselamatkan. Sepanjang musim hujan air bertakung dan pokok-pokok juga rosak akar dan mati.
Sekarang ini kami masih lagi dalam proses untuk memulihkan dan menyusun semula pokok-pokok yang ada.
 Sebelum ini nursery kami dikenali dengan Nursery 1001 pokok hiasan, pokok buah dan herba. Kini kami perlu memulakan semula dari awal untuk kembali menyediakan tanaman dan tumbuhan yang anda cari.
 Kami akan segera maklumkan bila ianya sudah boleh dibuka semula.
 Proses-proses membina tempat teduhan juga mengambil masa disebabkan tiang asal telah reput dan runtuh tempoh hari.
 Kami juga dalam proses menyiram dan membaja serta membelai pokok agar ianya kembali subur dan menarik seperti dahulu.
 Kami juga memohon maaf kepada anda yang telah membuat pertanyaan dan pesanan secara online kerana kami tidak dapat menunaikannya buat masa ini.
 Selain itu juga kami menggalakan anda untuk memberitahu pokok hiasan atau herba yang anda inginkan untuk kami cuba cari dan penuhi koleksi anda itu. Anda boleh tinggalkan komen di bahagian bawah.
 Sekali lagi kemaafan di pohon kerana tidak dapat menjawab email anda sebelum ini.
Insya Allah bila kami dah bersedia, saya akan upload dan buka semula pembelian online.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...